Dato' Sudirman bin Haji Arshad (25 Mei 1954 - 22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia. Beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTM 1976" pada 11 Ogos 1976. Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia" (pada 19 Mac 1989) dari Pahang, Malaysia sebelum kehadiran Siti Nurhaliza. Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti "Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan "Elvis Malaysia". Beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.
Nama Sudirman sebagai penghibur rakyat yang berwawasan terus subur di hati para peminat. Lagu-lagu dendangannya berjaya menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.
Lagu-lagunya ada untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, jururawat dan gadis desa seperti lagu "Pesan Abang", "Jamilah (Untuk Jururawat)", "Sepetang di Pinggir Bukit", "Orang Kampung" dan banyak lagi. Ada lagu sentimental berkisar kepada alam percintaan hingga kepada lagu-lagu berunsur nasihat, patriotik, keamanan sejagat dan mencintai tuhan.
Lagunya mengajak masyarakat menghargai alam sekitar, menyedari kepentingan pendidikan, menghormati dan yakin pada diri sendiri, disiplin dan jangan mudah lupa asal usul atau jati diri.
Sudirman mengabadikan puisi nukilan Allahyarham J. M. Aziz iaitu "Penyu Menangis" yang sebenarnya mengenai rayuan seekor penyu agar manusia menghentikan pencemaran alam sekitar.
Lagu "Pesta Dunia" mencela manusia-manusia di negara kaya yang membazirkan makanan dan memperpanjangkan kebuluran di negara-negara miskin. Pada tahun itu, lagu ini telah memenangi kategori lagu terbaik dan penyanyi terbaik di South East Asia Song Festival.
Manakala lagu-lagu seperti "8 Ke 4 ¼ (Punch Card)" dan "Chow Kit Road! Chow Kit Road!" bukan saja menghiburkan dan sedap didengar tetapi juga mempunyai mesej.
Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai "Penghibur Nombor 1 Asia" pada "Asian Popular Music Awards". Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Saleem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi yang pertama dari Malaysia yang pernah memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut, beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris "One Thousand Million Smiles" dan "Send In The Clown" dengan menggayakan aksi lucu ala-ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan serta membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil dari negara lain yang lebih hebat popularitinya.
Lagu "One Thousand Million Smiles" dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Studio Abbey Road, tempat rakaman album bagi penyanyi berpengaruh seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada 17hb. Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal, Kuala Lumpur selama 4 hari. Beliau telah dilaporkan pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi beliau dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.
"Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia," begitu penjelasan kakak Sudirman, Rodziah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.
Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya, Datin Rudiah binti Haji Arshad yang beralamat di No. 16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - berdekatan dengan pusara orang tuanya (selang beberapa baris). Ribuan peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang bergelar "Tun") telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai suatu kehilangan yang besar bagi dunia hiburan tanah air.
No comments:
Post a Comment